Monday, December 27, 2010

Hormati perasaan, hak, kehendak antara kaum - Rais

MELAKA 26 Dis. - Budaya menghormati perasaan, hak dan kehendak kaum lain perlu menjadi intipati kelangsungan untuk terus mewujudkan perpaduan dan kesepakatan bangsa Malaysia.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, setiap perbezaan itu, tidak seharusnya terjerumus ke kancah permusuhan.

"Jika rakyat tidak mahu bersatu padu, mereka dikira tidak menghormati perpaduan negara dan sambutan hari ini melihat kebanjiran rakyat berbilang kaum membuktikan hubungan rapat di antara mereka.

"Oleh itu, rakyat perlu berganding bahu bersama kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara model dan contoh dalam konteks toleransi antara agama dan kaum," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Rumah Terbuka Krismas 2010 peringkat kebangsaan di Perkampungan Portugis, Ujung Pasir di sini malam ini.

Majlis Rumah Terbuka Krismas 2010 disambut meriah dengan dihadiri 10,000 masyarakat berbilang kaum termasuk pelancong asing.

Mengulas lanjut, Rais berkata, kerajaan sentiasa berusaha menerangi kehidupan rakyat dengan pelbagai program sentuhan gagasan 1Malaysia.

Kerajaan katanya, sentiasa bersama rakyat dan mendekati mereka setiap masa menerusi pendekatan mesra budaya.

"Kerajaan mengangkat enam perayaan yang paling utama iaitu Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Tadau Keamatan, Gawai, Deepavali dan Krismas berlandaskan dengan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sambutan majlis Rumah Terbuka Krismas boleh dijadikan landasan terbaik untuk menghindari sikap prejudis dan berprasangka buruk terhadap kaum lain.

Lebih penting, katanya, ia boleh dijadikan sebagai tempat mengenali dengan lebih rapat dan memahami adat serta budaya segenap lapisan masyarakat serta memperkukuhkan sikap toleransi.

Beliau menyeru rakyat menjadikan gagasan 1Malaysia sebagai payung yang mampu menaungi segenap lapisan masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum dan keturunan.

Saturday, December 11, 2010

'Usah gadai masa depan negara'

PEKAN 11 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat supaya tidak menggadaikan masa depan negara dengan mempercayai segala janji yang ditaburkan oleh parti pembangkang kepada mereka.

Tegas Perdana Menteri, parti pembangkang terbukti gagal mentadbir negeri-negeri yang dikuasai mereka apabila tidak mampu menunaikan janji yang pernah ditaburkan pada pilihan raya lalu.

Malah kata beliau, pembangkang juga gagal mencapai kesepakatan dalam pakatan yang mereka cipta selama ini.

"Parti-parti pembangkang mempunyai ideologi yang bercanggah antara satu sama lain dalam pakatan yang mereka ciptakan.

"Oleh itu, jangan beri peluang kepada pembangkang untuk memerintah negara ini," tegasnya semasa berucap pada sambutan Deepavali 1Malaysia peringkat Parlimen Pekan di Dewan Majlis Daerah Pekan di sini hari ini.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memberitahu, sejarah dunia membuktikan bahawa pemimpin yang hanya bijak menabur janji tetapi gagal menunaikannya, akan tersungkur.

"Ramai pemimpin dunia gagal menjadi pemimpin yang baik kerana kegagalan menunaikan janji-janji yang pernah ditaburkan kepada rakyatnya," katanya.

Sehubungan itu, beliau yakin parti pembangkang tidak akan mampu memerintah negara kerana kelemahan-kelemahan yang wujud di kalangan pakatan mereka.

Beliau menegaskan, hanya BN yang mampu memerintah negara menerusi rekod cemerlangnya sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun lalu.

"BN telah membuktikan mampu menunaikan segala janjinya kepada rakyat selepas mencapai kemerdekaan.

"Hanya BN yang boleh membawa Malaysia menjadi negara maju menerusi janji-janji yang realistik dan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Najib juga berazam akan terus memberikan keadilan kepada semua lapisan rakyat rakyat tanpa mengira kaum supaya negara menjadi makmur dan harmoni.

Sunday, December 5, 2010

Jadikan Perkaya contoh bela anak yatim - Agong




Tuanku Mizan Zainal Abidin menyampaikan anugerah Pemegang Ijazah Alumni kepada seorang penerima pada Majlis Makan Malam Sambutan 30 Tahun Perkaya di Taman Tamadun Islam, Terengganu, semalam. - BERNAMA














KUALA TERENGGANU 5 Dis. - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mahu Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Terengganu (Perkaya) dijadikan contoh terbaik dalam usaha membela nasib golongan berkenaan.

Sehubungan itu, Seri Paduka menyeru semua pihak agar terus menggembleng tenaga dan fikiran dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik kerana ia merupakan tanggungjawab semua.

Seri Paduka turut berpuas hati dengan komitmen kerajaan negeri yang bersungguh-sungguh memberikan khidmat kepada masyarakat, khususnya anak-anak yatim di negeri ini.

"Dalam hal ini, beta bersyukur kerana usaha kebajikan yang dijalankan sentiasa mendapat sokongan masyarakat melalui penglibatan mereka dalam pelbagai badan sukarela di negeri ini seperti yang dilakukan menerusi Perkaya," titah Seri Paduka.

Tuanku Mizan bertitah demikian sempena Majlis Sambutan 30 Tahun Perkaya dan Pelancaran Skim Waqaf Tanah Kolej Teknologi Bestari, Setiu (Peyatim) di Taman Tamadun Islam di sini malam tadi.

Seri Paduka juga percaya anak-anak yatim di bawah jagaan Perkaya bukan sahaja dibela dan dijaga keperluan mereka, malah turut dipastikan kecemerlangan di segi pembangunan akhlak dan akademik.

Dalam pada itu, Tuanku Mizan berbangga di atas kejayaan yang dicapai oleh Perkaya dalam pembangunan kebajikan anak-anak yatim sepanjang 30 tahun penubuhannya.

Sempena majlis tersebut, Seri Paduka turut mengurniakan anugerah kepada 20 pemegang ijazah Alumni 30 Perkaya yang telah berjaya dalam kerjaya masing-masing termasuk sebagai doktor, pengarah, jurutera, pensyarah dan usahawan.

Di majlis itu, baginda turut berkenan mengurniakan anugerah Tokoh Jasamu Dikenang Perkaya kepada empat tokoh yang banyak menyumbang dan membantu kepada pembangunan Perkaya sepanjang 30 tahun penubuhannya.

Mereka ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang dianugerahkan Pingat Emas Kelas Pertama Perkaya, manakala Pingat Emas Kelas Kedua Perkaya diberikan kepada bekas Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Ibrahim Mohamad, Ahmad Mahmood dan Baharuddin Mohamed (ahli jawatankuasa Perkaya).

Wednesday, July 7, 2010

Dokumen sulit dedah nuklear AS-Israel



OBAMA dan Netanyahu berjalan di White House, Washington kelmarin.


TEL AVIV - Satu dokumen sulit yang didedahkan oleh media Yahudi mengesahkan bahawa Israel dan Amerika Syarikat (AS) memeterai kerjasama nuklear, lapor akhbar Haaretz semalam.

Menurut stesen Radio Tentera Israel, AS dilaporkan menghantar satu dokumen kepada rejim Zionis berhubung kerjasama nuklear melibatkan kedua-dua buah negara selain berjanji menjual bahan-bahan yang digunakan untuk menjana tenaga elektrik dan bekalan lain.

Komitmen kerjasama nuklear itu dinyatakan oleh AS walaupun terdapat kenyataan bahawa Israel tidak menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) seperti kebanyakan negara kuasa nuklear lain.

Negara-negara lain enggan bekerjasama dengan Israel berhubung isu nuklear kerana ia tidak menandatangani NPT manakala masyarakat antarabangsa meminta rejim Zionis lebih terbuka dan telus berhubung senjata nuklear.

Semasa pertemuan antara Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan Presiden AS, Barack Obama di Washington kelmarin, kedua-dua pemimpin berkenaan berbincang tentang cabaran NPT selain keperluan untuk mengukuhkan sistem kawalan senjata nuklear.

Netanyahu bagaimanapun mengelak daripada menyertai sidang tersebut yang akan diadakan pada September depan dengan alasan negara-negara lain akan menuding jari ke arah Israel kerana menyembunyikan senjata nuklearnya.

Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan tentang desakan untuk mengadakan persidangan untuk menjadikan rantau Asia Barat bebas senjata nuklear yang diusulkan ketika sidang NPT 2010 di New York.

Obama memberitahu Netanyahu bahawa, sebagai penganjur bersama sidang bebas nuklear tersebut, AS mahu ia memiliki agenda meluas yang turut merangkumi isu-isu keselamatan serantau, verifikasi dan pematuhan nuklear antarabangsa serta perbincangan mengenai semua bentuk senjata pemusnah besar-besaran.

Obama juga menekankan bahawa AS akan terus bekerja rapat dengan Israel bagi memastikan bahawa inisiatif dan dasar pengawalan senjata tidak memencilkan keselamatan Israel.

Monday, May 24, 2010

Yadim terbit semula majalah Dakwah


Jamil Khir Baharom (kanan) melancarkan majalah Dakwah sambil diperhatikan oleh Aziz Jamaluddin Md Tahir (tengah) dan Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin di Taman Tasik Putrajaya, baru-baru ini.


AYAT 1-4 daripada surah al-'Alaq di atas menekankan kepentingan membaca dalam kehidupan seharian.

Dalam era globalisasi dan maklumat di hujung jari kini, bukan sahaja aspek membaca itu penting tetapi lebih utama adalah jenis bahan yang dibaca.

Menyedari hakikat ini, Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) menerbitkan semula majalah Dakwah yang dihentikan penerbitannya sejak 10 tahun lalu.

Keluaran sulung majalah terbitan Yadim itu sudah berada di pasaran awal Mei lalu. Majalah itu diterbitkan pada tahun 1977 sebelum diberhentikan sementara pada tahun 2000.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom yakin, penerbitan semula itu juga mampu mempromosi Yadim kepada masyarakat negara ini.

Katanya, kajian juga mendapati permintaan kepada majalah bercorak keagamaan dan kerohanian kini semakin meningkat berbanding 10 tahun lalu.

"Sehubungan itu, saya merasakan kemunculan majalah Dakwah kena pada masanya di tengah-tengah permasalahan sosial yang membimbangkan kita.

"Majalah ini berupaya menjadi wadah penyampai maklumat, sekali gus gelanggang penyedia penyelesaian dalam kita merangka dan melaksana dasar berkaitan permasalahan ummah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran majalah Dakwah di Kelab Tasik Putrajaya, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Yang Dipertua Yadim, Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Majalah yang diterbitkan setiap dua bulan sekali itu dijual pada harga RM6.90 di Semenanjung Malaysia dan RM8.90 di Sabah dan Sarawak.

Ketua Editornya ialah Mohd. Shauki Abd. Majid selain dibarisi tokoh ulama tempatan sebagai penulis kehormat.

Antaranya, Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (Istac) Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid dan penyandang Kerusi Sheikh Abdullah Fahim, Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr. Ismail Ibrahim.

Antara lain majalah Dakwah bersifat dakwah kontemporari melalui penulisan separa ilmiah, menggunakan pendekatan sederhana, mudah dan berunsur informatif.

Bahan-bahan penulisannya juga merangkumi isu tempatan dan antarabangsa yang berkaitan dengan masyarakat Islam.

Para penulisnya juga tidak tergolong kepada Melayu, penulis seperti saudara Muslim juga diberi peluang menyumbang pandangan mereka dalam majalah ini.

Friday, May 14, 2010

DAP bukan parti Demokratik.

SIBU 13 Mei - Parti Tindakan Demokratik (DAP) bukanlah parti yang demokratik seperti namanya kerana ia dikuasai oleh satu keluarga yang terdiri daripada bapa, anak dan menantu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, walaupun mereka menuduh Barisan Nasional (BN) dengan pelbagai tuduhan tetapi dalam parti itu sendiri bapa pernah menjadi ketua pembangkang, anak menjadi setiausaha agung dan menantu menjadi pemimpin kanan.

"Mana ada parti macam ini.., BN tidak seperti itu. DAP walaupun belum berkuasa tetapi anak-beranak sudah menguasai parti dan kalau tidak menyokong bapa, anak atau menantu itu, mereka akan kena buang.

"Ini parti berkuku besi, parti BN lebih demokratik daripada DAP," kata Najib sambil menambah parti itu dengan gabungan rakan-rakan pembangkang akan terus melakukan pembohongan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu.

Najib berkata demikian semasa berucap ketika melawat Rumah Panjang Sebastian Onggoh di Jalan Teku, Pasai dekat sini hari ini.

Sejak penubuhan DAP pada 1966, struktur kepimpinan tertinggi DAP tidak berubah dengan diterajui Lim Kit Siang dan kemudian anaknya, Lim Guan Eng.

Ketika ini, Kit Siang merupakan Penasihat DAP dan Guan Eng pula Setiausaha Agung. Isteri Guan Eng iaitu Betty Chew Gek Cheng adalah Naib Pengerusi Wanita DAP dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana di Melaka.

Pengerusi DAP ketika ini ialah Karpal Singh dan dua anaknya, Gobind Singh Deo ialah Ahli Jawatankuasa Pusat DAP yang juga Ahli Parlimen Puchong manakala Jagdeep Singh Deo pula Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang dan ADUN Datuk Keramat.

Perdana Menteri menjelaskan penduduk Sibu tidak harus mendengar dakyah DAP yang kini membawa pelbagai isu di rumah-rumah panjang di kawasan Parlimen ini untuk berkempen dalam pilihan raya.

"Dalam pilihan raya, kita harus memilih siapa yang boleh diletakkan harapan dan dapat mengubah nasib kita di masa depan, dan bukannya mendengar isu-isu yang tiada kaitan dengan kehidupan kita," kata Perdana Menteri.

Friday, April 9, 2010

Baju Merah ikrar adakan perhimpunan besar-besaran



BANGKOK 9 April - Penunjuk perasaan anti-kerajaan Thailand berikrar akan mengadakan perhimpunan jalanan secara besar-besaran hari ini bagi membantah perintah darurat yang dikuatkuasakan di bandar itu.

Kelmarin, kerajaan Thailand telah mengenakan perintah darurat untuk membendung protes besar-besaran di ibu negara itu sejak hampir sebulan lalu, yang dilancarkan bagi mendesak pilihan raya baru diadakan.

Sehari selepas Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva mengenakan perintah tersebut, pihak berkuasa menyekat laman web dan menghentikan siaran stesen televisyen pembangkang yang berpengaruh, mencetuskan pergelutan antara polis rusuhan dan penunjuk perasaan Baju Merah.

Ekoran protes tersebut, pasaran saham popular Thailand menunjukkan kemerosotan teruk dalam tempoh hampir enam bulan.

Abhisit turut membatalkan lawatan seharinya ke Vietnam untuk menghadiri persidangan Negara-negara Asean.

Kira-kira 10,000 penunjuk perasaan juga mengingkari perintah supaya menghentikan pengepungan enam hari di kawasan membeli-belah utama Bangkok.

“Kami akan menentang semua undang-undang. Kita tidak mahu mengatakan perhimpunan itu sebagai hari terakhir, tetapi jika kita mencapai sasaran, sudah tentu kita akan menghentikannya.

“Ia adalah untuk Abhisit supaya membubarkan parlimen,” kata ketua Baju Merah, Nattawut Saikua.









Bunuh kekasih isteri: warga Mynmar dihukum gantung

09/04/2010 1:04pm

SHAH ALAM 9 April - Seorang pengawal keselamatan warga Mynmar dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh kekasih isterinya yang mayatnya ditemui dalam tangki air, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memerintahkan hukuman itu terhadap Mohd. Naki Mohd. Yusuf, 44, selepas beliau menolak keterangan pembelaan tertuduh kerana ia penafian semata-mata.

Mohd. Naki didakwa membunuh Nowshad, 27, yang juga warga Mynmar di kilang Sin Guat Huat, Jalan Perusahaan 3, Beranang, Kajang, dekat sini pada pukul 9.30 malam, 14 April 2007